Berpesta di lubuk tenggalan sungai perak
Sewaktu
saya singgah di Gerai roti Canai Abang Nasir di Kuala Kangsar, sempat juga kami
berborak perihal memancing. Abang Nasir ni memang giler dengan hobi memancing,
sebut sahaja lubuk mana di Sungai Perak serta kolam-kolam pancing sekitar Kuala
Kangsar semua dia tahu siap dengan spesis ikan dan umpannya sekali. Menurutnya,
ketika ini ramai pemancing sedang berpesta memancing ikan Tenggalan di Lubuk
belakang rumah Arwah Pak Ghani, Kampung Kledang Lembah. Eh! itu kampung saya,
macam mana saya boleh terlepas pandang?. Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki
ke tempat itu. Khabarnya rekod tangkapan tenggalan terbesar mencecah timbangan
dua kilo. Wah!, kalau layan dengan set ringan memang best nih!...
PORT MEMANCING TERBAIK
Petang itu saya hanya turun meninjau ke lubuk
tersebut dan mendapati memang ramai kaki bottom
berada di sekitar lubuk, saya kira ada 13 orang di kedua-dua belah tebing. Jumlah
joran yang sudah siap terpacak pula tak kurang dari 25 set, dah meriah macam ada
pertandingan memancing le pulak. Di tebingnya pula sudah tersedia beberapa buah
pondok rehat nelayan sungai yang juga boleh digunakan oleh pemancing asalkan
jangan panjang tangan dan bersama-sama menjaga kebersihan kawasan sekitarnya.
Yang bestnya, motorsikal dan
kenderaan 4x4 pun boleh sampai
sehingga ke gigi air, tidaklah terasa penat hendak menapak dan mengangkut
peralatan memancing dari jalan kampung bertar. Keadaan air sungai pada ketika
itu agak surut dan jernih disebabkan oleh kemarau panjang.
Kawasan sekitarnya pula sangat bersih serta tidak
bersemak samun, rumputnya sentiasa
pendek kerana selalu diragut lembu-lembu dan kambing-kambing ternakan penduduk
kampung. Terdapat juga beberapa batang pokok yang tumbuh merendang di tepi
tebing dari jenis Ara, Asam Jawa dan Mambu. Ia boleh dibuat tempat berteduh bagi
mengelak dari panas terik matahari ketika memancing. Ada pula sepohon Kelapa Sawit
yang sudah berbuah lebat serta masak ranum, sesak-sesak boleh juga dibuatkan
umpan.
Pada petang itu, saya telah menyaksikan
kebanyakan pemancing berpesta silih berganti mendaratkan seekor demi seekor Tenggalan,
Betulu, Temperas, Umbut-umbut serta Lampam sungai. Memang tidak menang tangan mereka
memasang umpan dan melayan tarikan ikan. Ada di antara mereka yang sudah
berjaya menaikkan sehingga tiga puluh ekor Tenggalan pada hari itu. Saya belum
pernah lagi menyaksikan situasi pancingan yang sangat menjadi seperti hari itu
di perairan Sungai Perak. Kesempatan yang ada saya gunakan sepenuhnya untuk
mengorek rahsia umpan, teknik dan peralatan yang sesuai daripada Otai-otai yang
berada di situ, sebahagiannya memang telah saya kenali.
KENANGAN
MASA LALU
Dahulunya kawasan ini merupakan bahagian
sungai yang agak cetek, dasarnya terdiri daripada batu-batu chegar pelbagai
saiz membentuk lata-lata kecil serta lubuk-lubuk kecil yang berhampiran dengan
tebing. Terdapat sebuah pulau seluas padang bola sepak yang terletak di bahagian tengah sungai dan ke
hulu sedikit daripada lubuk yang ada sekarang. Pada masa dahulu, pulau tersebut
dapat dilihat di sebelah hilir dari Jambatan Iskandar. Aliran air yang terbias
ke sebelah kanan pulau telah membentuk lubuk yang dalam di tepi tebing,
manakala sebelah kiri pulau pula lebih cetek membentuk lata yang panjang.
Di
kawasan lata sebelah tepi Pulau Kledang inilah, saya pernah menumpaskan seekor
Badong bersaiz mega dengan hanya menggunakan sebatang besi tiruk yang diikat
getah lastik dibelakangnya. Di tepi
lubuk belakang pulau pula, saya pernah meniruk ikan Kepar bersaiz sebesar
pinggan nasi. Sepanjang ingatan saya,
jarang-jarang ikan tenggalan dapat dipancing di lubuk tersebut. Cuma ikan
Temoleh, Kelah, Jelawat, Kerai, Baung, Belida dan Lampam yang pernah dinaikkan
oleh pemancing di kawasan itu. Mungkinkah umpannya yang tidak menepati selera Tenggalan?,
atau masa dan keadaannya yang tidak kena?...
LUBUK
BERBATU
Kini keadaannya amat berlainan sama sekali. Pulau
Kledang yang dahulunya tersergam indah kini sudah lenyap ditelan arus
pembangunan, kerja-kerja melombong pasir telah meranapkannya. Dasar sungai
menjadi semakin dalam, lalu terbentuklah lubuk-lubuk yang besar serta dalam di
tengah sungai. Terdapat juga bongkah-bongkah
batu sebesar kereta yang tenggelam, ia tidak dapat dinaikkan oleh pelombong
pasir. Kalaulah mereka dapat mengangkatnya, saya rasa itupun akan dijualnya juga.
Batu-batu itu berada pada kedalaman lebih kurang
satu meter di bawah permukaan air, kedudukannya agak sukar dikesan oleh mata
kasar. Gabungan Lubuk-lubuk serta bongkah-bongkah batu itu telah menjadi tempat
persembunyian yang digemari oleh ikan-ikan Sungai Perak terutamanya Tenggalan. Terdapat
pertemuan arus laju dari tengah sungai dengan arus perlahan dari tepi yang
menghasilkan olak air di kawasan sekitar lubuk. Keadaan ini amat disukai oleh
ikan kerana lebih senang menunggu makanan yang dihanyutkan tanpa perlu mengerah
tanaga melawan arus sungai. Kehadiran ikan Tengalan yang banyak di lubuk tersebut
pada ketika itu mungkin ada kaitannya dengan musim pembiakan mereka. Ada juga
pemancing yang melihat kelibat Belida dan Patin sepanjang melebihi satu meter
bermain air sambil mencari makanan di sekitar lubuk. Haruan sebesar betis
hampir-hampir lagi dinaikkan oleh seorang Pengilat berhampiran dengan tebing
sungai. Ada sesiapa berani!.......
CABARAN
DAN PERALATAN
Cabaran memancing di sini terletak pada keadaan
dasarnya yang berbatu-batu besar dan terdapat sisa-sisa tinggalan pukat lama yang
tersangkut padanya. Bila sudah tersangkut tiada apa-apa lagi yang boleh dibuat
kecuali rentap sahajalah sampai putus. Pemancing perlu mengetahui kedudukan
batu-batu dan lubuk terlebih dahulu sebelum melontarkan umpan. Kita kena
memikirkan juga cara bagaimana untuk menaikkan ikan dengan selamat sekiranya mengena ikan yang besar, biasanya mereka akan
berjuang bermati-matian cuba menyelinap masuk ke kawasan batu-batu besar itu. Lubuk
yang berpotensi pula berada di antara batu-batu tersebut dan jaraknya agak jauh
ke tengah sungai, pasti sukar untuk mengawalnya. Otai-otai penunggu setia lubuk
sedia memberikan panduan, janganlah malu dan segan untuk bertanya kalau anda
tidak mahu kehilangan lebih banyak ikan, batu ladung dan perambut.
Peralatan memancing yang digunakan oleh
pemancing dasar di sini adalah dari kelas sederhana berat dan berat. Kekili
bersaiz 3000 ke atas berisi tali tangsi berkekuatan sekurang-kurangnya 25 lb.
Joran yang panjang dan keras diperlukan untuk melontar umpan dan batu
ladung bersaiz #7 atau #8 ke sasaran sejauh lebih kurang 50 ke 60 meter ke tengah
sungai. Kebanyakan pemancing di sini menggunakan perambut mata berangkai dengan
tiga hingga tujuh bentuk mata pancing. Mata pancing dan batu ladung hidup yang berharga
ekonomi dari jenama tempatan akan digunakan bagi mengurangkan risiko kerugian.
Apabila mengena ikan, mereka akan terus menyentak
dan mengaraunya secepat mungkin bagi mengelakkan ikan memasuki zon sangkut.
Cara perlawanan sebegini langsung tidak memberi ruang kepada ikan untuk
melawan. Kalau ikan bersaiz kecil yang mengena memang tiada masalah untuk
menariknya. Cuma yang memberikan sedikit masalah apabila mengena ikan yang
bersaiz kasar, selalu sangat berlaku kes rabut dan terlucut. Dengan joran yang
keras serta ditambah dengan khudrat larian padu ikan sering kali mengakibatkan mulut
atau bibir ikan terkoyak. Mulut sesetengah ikan seperti Tenggalan, Kelabau,
Kerai dan Lampam sangat lembut dan mudah terkoyak.
Saya hanya menggunakan peralatan yang lebih
ringan untuk menduga ikan Tengalan di lubuk itu. Dua buah kekili mendatar
jenama TOMAN bersaiz 2000 telah saya isikan dengan tali tangsi
utama yang berkekuatan 6 lb dari
jenama Seahawk. Penghujung tangsi
tersebut telah saya sambungkan kepada tangsi yang lebih kasar berkekuatan 15 lb, sepanjang 20 kaki lagi bagi
memudahkan kerja melontar umpan dengan batu ladung saiz #4 ke lubuk sasaran
sejauh 50 ke 60 meter. Dua batang joran dari jenama Abu Garcia dan Daiwa pula
hanya berkekuatan 8 – 17 lb sahaja
bertujuan untuk menikmati daya tarikan ikan Tenggalan. Ia juga dapat
mengurangkan kes mulut atau bibir ikan dari terkoyak kerana kesan keanjalan
yang terdapat pada joran lembut. Saya juga menggunakan perambut mata berangkai
dengan lima mata pancing. Pada mulanya saya lebih gemar menggunakan perambut
mata rambai siap diikat yang dibeli. Sungguhpun ia lebih efektif dan
berkualiti, namun sangat mudah tersangkut dan tidak ekonomi. Akhirnya saya terpaksa
akur juga kepada cadangan otai-otai.
RAMUAN
RAHSIA MENGUMPAN TENGALAN
Umpan yang biasa digunakan untuk memikat ikan Tengalan
adalah umpan adunan. Ramuannya bermacam-macam ragam mengikut pengalaman dan
kreativiti masing-masing. Bahan asasnya ialah dedak ayam dan tepung gandum,
manakala ramuan lain pula, ada yang menambahkan telur itik, tepung ubi, serbuk
kelapa sawit hancur, tepung ikan, pellet, rempah ratus, jagung hancur, ubi kayu
sagat, bahan perasa dan pelbagai lagi. Ramuan yang terbukti paling efektif dan
wajib dicampurkan kepada adunan adalah Buah Kulim.
Buah Kulim disaluti kulit yang keras, ia perlu
dipecahkan terlebih dahulu untuk mendapatkan isinya yang lebih lembut. Ada
pemancing yang memotong atau memarutnya halus-halus sebelum dicampurkan kepada
adunan. Saya lebih suka memeram isinya yang telah disagat halus bersama air
dari Sungai Perak ke dalam botol selama beberapa hari, kemudian saya hanya menggunakan
air rendaman itu untuk dicampurkan bersama adunan. Isi buah kulim tadi boleh ditambahkan
dengan air lain dan masih boleh digunakan berkali-kali sehingga berbulan-bulan
lamanya. Lebih lama diperam, baunya semakin menyengit bagi membangkitkan selera
Tenggalan. Bukan sahaja Tenggalan, kebanyakan spesis lain dari keluarga Cyprinidae juga sangat menggemari aromanya.
Umpan adunan saya lebih mudah, saya hanya
mencampurkan biskut Tiger Cream Creaker yang telah dikisar dengan air
rendaman buah kulim. Kadang kala saya cuma mengadunkan pellet Starter dengan air kulim dan telur itik
sahaja. Boleh dikatakan kesemua umpan
yang dicampurkan dengan buah kulim dapat menambat selera ikan Tengalan di lubuk
itu. Dari yang bersaiz anak hinggalah bersaiz induk kesemuanya menggemari bau
buah kulim. Sekiranya tiada buah Kulim, Bawang Putih boleh juga digunakan
sebagai penganti.
MENGGEMPUR
TENGGALAN
Timming saya sudah agak terlewat, ramai pemancing
sudah berjaya menaikkan beratus ekor ikan di lubuk itu terutamanya Tenggalan
sejak dari awal tahun lagi. Kebanyakkan Tenggalan yang dapat dipancing bersaiz di
bawah sekilo, namun banyak juga yang melebihi berat sekilo dapat dinaikkan oleh
pemancing. Setakat ini cuma dua ekor yang mencapai timbangan berat dua kilo
yang telah berjaya dipancing oleh Amir dan Hafis.
Hampir seminggu saya menjadi penunggu lubuk
bersama-sama dengan adik ipar saya, Sham
serta anak saya, Khairul menunggu ragutan tenggalan, kebetulan pada masa itu
sekolah sedang bercuti selama seminggu. Turut sama menemani kami ialah Abang
Wahi dengan anaknya Hishyam, Abang Sudin, Abang Nasir, Abang Kama, Sa’a, Amir,
Cikgu Zaki, Zahid, Hafis, Firdaus serta beberapa orang lagi yang saya tidak ingat
nama mereka. Begitu juga keadaannya di tebing seberang sungai, ada sahaja
pemancing yang menjalankan aktiviti membottom,
mengilat, dan sesekali ada juga yang gatal tangan menebar jala.
Tiga kali saya mendapat Strike dari ikan
bersaiz kasar, memang seronok melayan asakan Tenggalan dengan menggunakan set
ringan. Khudratnya lebih power
berbanding dengan saudara mereka Lampam dan Kerai. Ketiga-tiganya gagal saya
tangani apabila mereka berjaya mengatasi keupayaan peralatan memancing saya sehingga
memasuki zon sangkut. Walaupun saya telah melaraskan tegangan kekili dengan
seimbang pada kedua-dua set pancing bagi memudahkan saya mengawal larian ikan,
namun mereka masih mampu menarik tali keluar berkali-kali daripada kekili. Apa
lagi yang boleh saya buat?, hendak diketatkan sedikit drag, nanti meletop pula tali utama. Kalaulah saya menggunakan tali
yang lebih kuat, mungkin lebih berjaya. Cabaran tetap cabaran, saya teruskan
juga menggunakan tali utama berkekuatan 6 lb,
kalaulah dapat menewaskan Tenggalan seberat sekilo lebih barulah boleh
dikira hebat. Hanya Spesimen
yang bersaiz kurang dari sekilo serta ikan-ikan lain seperti Lampam, Betulu dan
Umbut-umbut sahaja yang dapat saya naikkan.
PESONA
TENGGALAN
Ramai pemancing berpendapat, ikan Tenggalan
yang bersaiz sederhana antara 400 gm hingga
ke sekilo lebih kuat melawan jika dibandingkan dengan yang bersaiz lebih kasar.
Mereka akan memberikan tentangan dari mula mengena sehinggalah ke saat
dinaikkan ke darat. Berbanding pula dengan ikan Tenggalan bersaiz besar, mereka
akan menurut sahaja karauan pada mulanya. Cuma terasa memberat seperti menarik
sampah diikuti dengan rontaan-rontaan yang lembut. Apabila sudah terlihat sahaja
kelibat pemancing barulah mereka mula bertindak ganas, pecutan serta benaman padu
mereka mampu membuatkan pemancing berputih mata. Ketika saat genting ini, kemahiran
pemancing akan teruji. Ikan yang berada
di hujung perambut akan mengerahkan sepenuhnya khudrat mereka yang masih ada untuk
melepaskan diri. Besar kemungkinan mulut atau bibir ikan akan terkoyak lalu terlucut,
itupun sekiranya peralatan memancing anda mampu menahan asakannya.
Ikan tengalan mempunyai kualiti isi yang halus
dan sangat enak dimakan. Ia digemari oleh kebanyakan penduduk di sekitar Sungai
Perak dan juga sungai-sungai lain. Dikatakan ikan yang tinggal di sungai yang
berarus laju seperti Sungai Perak lebih berkualiti dan manis isinya jika
dibandingkan dengan ikan yang ditangkap di kawasan takungan seperti empangan,
tasik, lombong atau kolam, begitu juga dengan tenaganya. Ikan Tenggalan sering
diburu oleh kebanyakan nelayan sungai kerana nilai komersialnya yang tinggi
selepas Kelah, Tengas, Temoleh, Ketutu dan Kerai. Harganya boleh mencecah
antara RM 15 – RM 50 sekilo bergantung kepada saiznya. Jumlah ikan ini sudah
semakin berkurangan dewasa ini, jarang-jarang kita jumpa spesimen yang bersaiz melebihi
dua kilo. Nasihat ikhlas saya kepada para pemancing dan nelayan,
janganlah kita melakukan pembaziran dengan menangkap ikan yang bersaiz kecil
kerana nilainya tidak seberapa. Apalah salahnya jika kita biarkan ia terus
hidup sehingga mencapai saiz yang lebih menguntungkan. Saya amat berharap agar
Pihak Jabatan Perikanan lebih aktif memulihara dan memantau sumber perikanan
yang sangat bernilai ini.
Selang berapa hari kemudian, hujan mulai turun
petanda sudah berakhirnya musim kemarau yang panjang. Air sungai mulai naik dan
warnanya bertukar menjadi keruh macam teh tarik. Lubuk tersebut mulai lengang,
hanya sesekali kami dapat menaikkan Lampam dan Umbut-umbut. Ke manakah
menghilangnya Tenggalan?, kami semua tiada jawapannya. Mungkin telah kembali ke
kawasan hilir sungai menandakan berakhirnya musim membiak mereka. Bagi saya ini
adalah petanda musim memburu Sebarau sudah bermula......
TAMAT
Assalam boss..
ReplyDeleteBiskut cracker tu nk pakai byk mana? Dan buah kulim tu pula nk sagat byk mana?
Terima ksh