Thursday, 19 June 2014

Bismillahhirrahmannirrohim



Berpesta di lubuk tenggalan sungai perak
Sewaktu saya singgah di Gerai roti Canai Abang Nasir di Kuala Kangsar, sempat juga kami berborak perihal memancing. Abang Nasir ni memang giler dengan hobi memancing, sebut sahaja lubuk mana di Sungai Perak serta kolam-kolam pancing sekitar Kuala Kangsar semua dia tahu siap dengan spesis ikan dan umpannya sekali. Menurutnya, ketika ini ramai pemancing sedang berpesta memancing ikan Tenggalan di Lubuk belakang rumah Arwah Pak Ghani, Kampung Kledang Lembah. Eh! itu kampung saya, macam mana saya boleh terlepas pandang?. Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke tempat itu. Khabarnya rekod tangkapan tenggalan terbesar mencecah timbangan dua kilo. Wah!, kalau layan dengan set ringan memang best nih!...
PORT MEMANCING TERBAIK
Petang itu saya hanya turun meninjau ke lubuk tersebut dan mendapati memang ramai kaki bottom berada di sekitar lubuk, saya kira ada 13 orang di kedua-dua belah tebing. Jumlah joran yang sudah siap terpacak pula tak kurang dari 25 set, dah meriah macam ada pertandingan memancing le pulak. Di tebingnya pula sudah tersedia beberapa buah pondok rehat nelayan sungai yang juga boleh digunakan oleh pemancing asalkan jangan panjang tangan dan bersama-sama menjaga kebersihan kawasan sekitarnya. Yang bestnya, motorsikal dan kenderaan 4x4 pun boleh sampai sehingga ke gigi air, tidaklah terasa penat hendak menapak dan mengangkut peralatan memancing dari jalan kampung bertar. Keadaan air sungai pada ketika itu agak surut dan jernih disebabkan oleh kemarau panjang.
Kawasan sekitarnya pula sangat bersih serta tidak bersemak samun,  rumputnya sentiasa pendek kerana selalu diragut lembu-lembu dan kambing-kambing ternakan penduduk kampung. Terdapat juga beberapa batang pokok yang tumbuh merendang di tepi tebing dari jenis Ara, Asam Jawa dan Mambu. Ia boleh dibuat tempat berteduh bagi mengelak dari panas terik matahari ketika memancing. Ada pula sepohon Kelapa Sawit yang sudah berbuah lebat serta masak ranum, sesak-sesak boleh juga dibuatkan umpan.
Pada petang itu, saya telah menyaksikan kebanyakan pemancing berpesta silih berganti mendaratkan seekor demi seekor Tenggalan, Betulu, Temperas, Umbut-umbut serta Lampam sungai. Memang tidak menang tangan mereka memasang umpan dan melayan tarikan ikan. Ada di antara mereka yang sudah berjaya menaikkan sehingga tiga puluh ekor Tenggalan pada hari itu. Saya belum pernah lagi menyaksikan situasi pancingan yang sangat menjadi seperti hari itu di perairan Sungai Perak. Kesempatan yang ada saya gunakan sepenuhnya untuk mengorek rahsia umpan, teknik dan peralatan yang sesuai daripada Otai-otai yang berada di situ, sebahagiannya memang telah saya kenali.

KENANGAN MASA LALU
Dahulunya kawasan ini merupakan bahagian sungai yang agak cetek, dasarnya terdiri daripada batu-batu chegar pelbagai saiz membentuk lata-lata kecil serta lubuk-lubuk kecil yang berhampiran dengan tebing. Terdapat sebuah pulau seluas padang bola sepak yang   terletak di bahagian tengah sungai dan ke hulu sedikit daripada lubuk yang ada sekarang. Pada masa dahulu, pulau tersebut dapat dilihat di sebelah hilir dari Jambatan Iskandar. Aliran air yang terbias ke sebelah kanan pulau telah membentuk lubuk yang dalam di tepi tebing, manakala sebelah kiri pulau pula lebih cetek membentuk lata yang panjang.
 Di kawasan lata sebelah tepi Pulau Kledang inilah, saya pernah menumpaskan seekor Badong bersaiz mega dengan hanya menggunakan sebatang besi tiruk yang diikat getah lastik dibelakangnya.  Di tepi lubuk belakang pulau pula, saya pernah meniruk ikan Kepar bersaiz sebesar pinggan nasi.  Sepanjang ingatan saya, jarang-jarang ikan tenggalan dapat dipancing di lubuk tersebut. Cuma ikan Temoleh, Kelah, Jelawat, Kerai, Baung, Belida dan Lampam yang pernah dinaikkan oleh pemancing di kawasan itu. Mungkinkah umpannya yang tidak menepati selera Tenggalan?, atau masa dan keadaannya yang tidak kena?...
LUBUK BERBATU
Kini keadaannya amat berlainan sama sekali. Pulau Kledang yang dahulunya tersergam indah kini sudah lenyap ditelan arus pembangunan, kerja-kerja melombong pasir telah meranapkannya. Dasar sungai menjadi semakin dalam, lalu terbentuklah lubuk-lubuk yang besar serta dalam di tengah sungai. Terdapat juga  bongkah-bongkah batu sebesar kereta yang tenggelam, ia tidak dapat dinaikkan oleh pelombong pasir. Kalaulah mereka dapat mengangkatnya,  saya rasa itupun akan dijualnya juga.
Batu-batu itu berada pada kedalaman lebih kurang satu meter di bawah permukaan air, kedudukannya agak sukar dikesan oleh mata kasar. Gabungan Lubuk-lubuk serta bongkah-bongkah batu itu telah menjadi tempat persembunyian yang digemari oleh ikan-ikan Sungai Perak terutamanya Tenggalan. Terdapat pertemuan arus laju dari tengah sungai dengan arus perlahan dari tepi yang menghasilkan olak air di kawasan sekitar lubuk. Keadaan ini amat disukai oleh ikan kerana lebih senang menunggu makanan yang dihanyutkan tanpa perlu mengerah tanaga melawan arus sungai. Kehadiran ikan Tengalan yang banyak di lubuk tersebut pada ketika itu mungkin ada kaitannya dengan musim pembiakan mereka. Ada juga pemancing yang melihat kelibat Belida dan Patin sepanjang melebihi satu meter bermain air sambil mencari makanan di sekitar lubuk. Haruan sebesar betis hampir-hampir lagi dinaikkan oleh seorang Pengilat berhampiran dengan tebing sungai. Ada sesiapa berani!.......
CABARAN DAN PERALATAN
Cabaran memancing di sini terletak pada keadaan dasarnya yang berbatu-batu besar dan terdapat sisa-sisa tinggalan pukat lama yang tersangkut padanya. Bila sudah tersangkut tiada apa-apa lagi yang boleh dibuat kecuali rentap sahajalah sampai putus. Pemancing perlu mengetahui kedudukan batu-batu dan lubuk terlebih dahulu sebelum melontarkan umpan. Kita kena memikirkan juga cara bagaimana untuk menaikkan ikan dengan selamat sekiranya  mengena ikan yang besar, biasanya mereka akan berjuang bermati-matian cuba menyelinap masuk ke kawasan batu-batu besar itu. Lubuk yang berpotensi pula berada di antara batu-batu tersebut dan jaraknya agak jauh ke tengah sungai, pasti sukar untuk mengawalnya. Otai-otai penunggu setia lubuk sedia memberikan panduan, janganlah malu dan segan untuk bertanya kalau anda tidak mahu kehilangan lebih banyak ikan, batu ladung dan perambut.  
Peralatan memancing yang digunakan oleh pemancing dasar di sini adalah dari kelas sederhana berat dan berat. Kekili bersaiz 3000 ke atas berisi tali tangsi berkekuatan sekurang-kurangnya 25 lb.  Joran yang panjang dan keras diperlukan untuk melontar umpan dan batu ladung bersaiz #7 atau #8 ke sasaran sejauh lebih kurang 50 ke 60 meter ke tengah sungai. Kebanyakan pemancing di sini menggunakan perambut mata berangkai dengan tiga hingga tujuh bentuk mata pancing. Mata pancing dan batu ladung hidup yang berharga ekonomi dari jenama tempatan akan digunakan bagi mengurangkan risiko kerugian.
Apabila mengena ikan, mereka akan terus menyentak dan mengaraunya secepat mungkin bagi mengelakkan ikan memasuki zon sangkut. Cara perlawanan sebegini langsung tidak memberi ruang kepada ikan untuk melawan. Kalau ikan bersaiz kecil yang mengena memang tiada masalah untuk menariknya. Cuma yang memberikan sedikit masalah apabila mengena ikan yang bersaiz kasar, selalu sangat berlaku kes rabut dan terlucut. Dengan joran yang keras serta ditambah dengan khudrat larian padu ikan sering kali mengakibatkan mulut atau bibir ikan terkoyak. Mulut sesetengah ikan seperti Tenggalan, Kelabau, Kerai dan Lampam sangat lembut dan mudah terkoyak.
Saya hanya menggunakan peralatan yang lebih ringan untuk menduga ikan Tengalan di lubuk itu. Dua buah kekili mendatar jenama TOMAN bersaiz 2000 telah saya isikan dengan tali tangsi utama yang berkekuatan 6 lb dari jenama Seahawk. Penghujung tangsi tersebut telah saya sambungkan kepada tangsi yang lebih kasar berkekuatan 15 lb, sepanjang 20 kaki lagi bagi memudahkan kerja melontar umpan dengan batu ladung saiz #4 ke lubuk sasaran sejauh 50 ke 60 meter. Dua batang joran dari jenama Abu Garcia dan Daiwa pula hanya berkekuatan 8 – 17 lb sahaja bertujuan untuk menikmati daya tarikan ikan Tenggalan. Ia juga dapat mengurangkan kes mulut atau bibir ikan dari terkoyak kerana kesan keanjalan yang terdapat pada joran lembut. Saya juga menggunakan perambut mata berangkai dengan lima mata pancing. Pada mulanya saya lebih gemar menggunakan perambut mata rambai siap diikat yang dibeli. Sungguhpun ia lebih efektif dan berkualiti, namun sangat mudah  tersangkut dan tidak ekonomi. Akhirnya saya terpaksa akur juga kepada cadangan  otai-otai.
RAMUAN RAHSIA MENGUMPAN TENGALAN
Umpan yang biasa digunakan untuk memikat ikan Tengalan adalah umpan adunan. Ramuannya bermacam-macam ragam mengikut pengalaman dan kreativiti masing-masing. Bahan asasnya ialah dedak ayam dan tepung gandum, manakala ramuan lain pula, ada yang menambahkan telur itik, tepung ubi, serbuk kelapa sawit hancur, tepung ikan, pellet, rempah ratus, jagung hancur, ubi kayu sagat, bahan perasa dan pelbagai lagi. Ramuan yang terbukti paling efektif dan wajib dicampurkan kepada adunan adalah Buah Kulim.
Buah Kulim disaluti kulit yang keras, ia perlu dipecahkan terlebih dahulu untuk mendapatkan isinya yang lebih lembut. Ada pemancing yang memotong atau memarutnya halus-halus sebelum dicampurkan kepada adunan. Saya lebih suka memeram isinya yang telah disagat halus bersama air dari Sungai Perak ke dalam botol selama beberapa hari, kemudian saya hanya menggunakan air rendaman itu untuk dicampurkan bersama adunan. Isi buah kulim tadi boleh ditambahkan dengan air lain dan masih boleh digunakan berkali-kali sehingga berbulan-bulan lamanya. Lebih lama diperam, baunya semakin menyengit bagi membangkitkan selera Tenggalan. Bukan sahaja Tenggalan, kebanyakan spesis lain dari keluarga Cyprinidae juga sangat menggemari aromanya.
Umpan adunan saya lebih mudah, saya hanya mencampurkan biskut Tiger Cream Creaker yang telah dikisar dengan air rendaman buah kulim. Kadang kala saya cuma mengadunkan pellet Starter dengan air kulim dan telur itik sahaja.  Boleh dikatakan kesemua umpan yang dicampurkan dengan buah kulim dapat menambat selera ikan Tengalan di lubuk itu. Dari yang bersaiz anak hinggalah bersaiz induk kesemuanya menggemari bau buah kulim. Sekiranya tiada buah Kulim, Bawang Putih boleh juga digunakan sebagai penganti.
MENGGEMPUR TENGGALAN
Timming saya sudah agak terlewat, ramai pemancing sudah berjaya menaikkan beratus ekor ikan di lubuk itu terutamanya Tenggalan sejak dari awal tahun lagi. Kebanyakkan Tenggalan yang dapat dipancing bersaiz di bawah sekilo, namun banyak juga yang melebihi berat sekilo dapat dinaikkan oleh pemancing. Setakat ini cuma dua ekor yang mencapai timbangan berat dua kilo yang telah berjaya dipancing oleh Amir dan Hafis.
Hampir seminggu saya menjadi penunggu lubuk bersama-sama dengan adik ipar saya,  Sham serta anak saya, Khairul menunggu ragutan tenggalan, kebetulan pada masa itu sekolah sedang bercuti selama seminggu. Turut sama menemani kami ialah Abang Wahi dengan anaknya Hishyam, Abang Sudin, Abang Nasir, Abang Kama, Sa’a, Amir, Cikgu Zaki, Zahid, Hafis, Firdaus serta beberapa orang lagi yang saya tidak ingat nama mereka. Begitu juga keadaannya di tebing seberang sungai, ada sahaja pemancing yang menjalankan aktiviti membottom, mengilat, dan sesekali ada juga yang gatal tangan menebar jala.
Tiga kali saya mendapat Strike dari ikan bersaiz kasar, memang seronok melayan asakan Tenggalan dengan menggunakan set ringan. Khudratnya lebih power berbanding dengan saudara mereka Lampam dan Kerai. Ketiga-tiganya gagal saya tangani apabila mereka berjaya mengatasi keupayaan peralatan memancing saya sehingga memasuki zon sangkut. Walaupun saya telah melaraskan tegangan kekili dengan seimbang pada kedua-dua set pancing bagi memudahkan saya mengawal larian ikan, namun mereka masih mampu menarik tali keluar berkali-kali daripada kekili. Apa lagi yang boleh saya buat?, hendak diketatkan sedikit drag, nanti meletop pula tali utama. Kalaulah saya menggunakan tali yang lebih kuat, mungkin lebih berjaya. Cabaran tetap cabaran, saya teruskan juga menggunakan tali utama berkekuatan 6 lb, kalaulah dapat menewaskan Tenggalan seberat sekilo lebih barulah boleh dikira hebat.  Hanya Spesimen yang bersaiz kurang dari sekilo serta ikan-ikan lain seperti Lampam, Betulu dan Umbut-umbut sahaja yang dapat saya naikkan.
PESONA TENGGALAN
Ramai pemancing berpendapat, ikan Tenggalan yang bersaiz sederhana antara 400 gm hingga ke sekilo lebih kuat melawan jika dibandingkan dengan yang bersaiz lebih kasar. Mereka akan memberikan tentangan dari mula mengena sehinggalah ke saat dinaikkan ke darat. Berbanding pula dengan ikan Tenggalan bersaiz besar, mereka akan menurut sahaja karauan pada mulanya. Cuma terasa memberat seperti menarik sampah diikuti dengan rontaan-rontaan yang lembut. Apabila sudah terlihat sahaja kelibat pemancing barulah mereka mula bertindak ganas, pecutan serta benaman padu mereka mampu membuatkan pemancing berputih mata. Ketika saat genting ini, kemahiran pemancing akan teruji.  Ikan yang berada di hujung perambut akan mengerahkan sepenuhnya khudrat mereka yang masih ada untuk melepaskan diri. Besar kemungkinan mulut atau bibir ikan akan terkoyak lalu terlucut, itupun sekiranya peralatan memancing anda mampu menahan asakannya.
Ikan tengalan mempunyai kualiti isi yang halus dan sangat enak dimakan. Ia digemari oleh kebanyakan penduduk di sekitar Sungai Perak dan juga sungai-sungai lain. Dikatakan ikan yang tinggal di sungai yang berarus laju seperti Sungai Perak lebih berkualiti dan manis isinya jika dibandingkan dengan ikan yang ditangkap di kawasan takungan seperti empangan, tasik, lombong atau kolam, begitu juga dengan tenaganya. Ikan Tenggalan sering diburu oleh kebanyakan nelayan sungai kerana nilai komersialnya yang tinggi selepas Kelah, Tengas, Temoleh, Ketutu dan Kerai. Harganya boleh mencecah antara RM 15 – RM 50 sekilo bergantung kepada saiznya. Jumlah ikan ini sudah semakin berkurangan dewasa ini, jarang-jarang kita jumpa spesimen yang bersaiz melebihi  dua kilo. Nasihat ikhlas saya kepada para pemancing dan nelayan, janganlah kita melakukan pembaziran dengan menangkap ikan yang bersaiz kecil kerana nilainya tidak seberapa. Apalah salahnya jika kita biarkan ia terus hidup sehingga mencapai saiz yang lebih menguntungkan. Saya amat berharap agar Pihak Jabatan Perikanan lebih aktif memulihara dan memantau sumber perikanan yang sangat bernilai ini.
Selang berapa hari kemudian, hujan mulai turun petanda sudah berakhirnya musim kemarau yang panjang. Air sungai mulai naik dan warnanya bertukar menjadi keruh macam teh tarik. Lubuk tersebut mulai lengang, hanya sesekali kami dapat menaikkan Lampam dan Umbut-umbut. Ke manakah menghilangnya Tenggalan?, kami semua tiada jawapannya. Mungkin telah kembali ke kawasan hilir sungai menandakan berakhirnya musim membiak mereka. Bagi saya ini adalah petanda musim memburu Sebarau sudah bermula......
TAMAT

1 comment:

  1. Assalam boss..

    Biskut cracker tu nk pakai byk mana? Dan buah kulim tu pula nk sagat byk mana?
    Terima ksh

    ReplyDelete